Modal Trading Ciput? Cuba Cara Ini Untuk Kumpul Modal

Modal kecil bukan bermaksud tak boleh mula trading.

Bila bercakap tentang trading, kita selalu dengar modal yang digunakan sampai beribu-ribu ringgit. Kalau baru nak mula dan modal tak banyak, mungkin kita rasa susah nak ikut.

Tapi dalam kripto, kita tak perlukan modal yang besar untuk bermula, dan itu yang aku suka.

Persoalannya, kalau modal kita kecil, apa yang kita boleh buat untuk membina portfolio secara berperingkat?

Dalam nota kali ni, aku nak share satu contoh strategi menggunakan modal RM100 sebulan. Kita tengok bagaimana nak bermula, bila nak kumpul modal dan bila nak beralih kepada fasa take profit dan withdraw.

Nota penting: Contoh dalam nota ini bertujuan menerangkan strategi mengumpul modal. Ia bukan jaminan keuntungan atau cadangan untuk membeli mana-mana kripto. Harga, risiko dan hasil sebenar bergantung pada keadaan market dan keputusan trading masing-masing.

Sebelum Mula, Pastikan Cash Flow Positif

Sebelum kita bercakap tentang strategi trading, ada satu perkara yang perlu kita fikirkan dahulu.

Kita trading untuk menambah pendapatan, bukan menjadikan trading sebagai satu-satunya sumber pendapatan. Katakan setiap bulan kita ada lebihan RM100 selepas menolak semua perbelanjaan. Lebihan inilah yang kita gunakan untuk membina portfolio, bukan gunakan wang yang diperlukan untuk komitmen harian atau kecemasan.

Kenapa perkara ini penting?

Apabila kita terlalu bergantung pada hasil trading untuk membayar komitmen, kita akan rasa terpaksa untuk sentiasa trade. Bila trade tak mencapai target, kita mula rasa tertekan dan terdorong untuk membuat keputusan yang tak sepatutnya.

Sebaliknya, apabila kita mempunyai cash flow yang positif dan trading bukan satu-satunya sumber pendapatan, kita mempunyai lebih banyak ruang untuk merancang.

Aku pakai contoh di bawah dalam nota ini:

PerkaraNilai
Lebihan tunai setiap bulanRM100
Tempoh perancangan12 bulan
Jumlah modal setahunRM1,200
Jumlah modal dalam 5 tahunRM6,000

Jumlah di atas ialah wang yang kita jadikan modal sepanjang tempoh tersebut, bukan keuntungan atau nilai portfolio.

Pilih Kripto Yang Patuh Shariah

Selepas kita tahu berapa banyak modal yang boleh disediakan, langkah seterusnya ialah memilih kripto yang nak digunakan dalam mengumpul modal. Fokus kepada kripto yang patuh Shariah.

Tak semua kripto mempunyai status yang sama. Jadi, jangan pilih sesuatu aset semata-mata sebab harganya tengah naik atau ramai orang sedang bercakap tentangnya.

Buat semakan terlebih dahulu dan boleh baca di sini: Kripto Mana Yang Patuh Shariah?

Kemudian kita susun strategi pembelian.

Dua Fasa Dalam Trading Plan

Untuk strategi ini, kita bahagikan proses kepada dua fasa:

FasaTujuan
Accumulation periodMengumpul position secara berperingkat ketika harga berada di bawah harga belian pertama
Take profit periodMengurus position yang sudah ada apabila harga bergerak naik, sambil mengambil peluang daripada pergerakan market seterusnya

Kita tak semestinya terus berada dalam fasa take profit sebaik sahaja membeli.

Kalau modal masih kecil dan harga belum bergerak melepasi level belian pertama, kita boleh teruskan proses menambah kripto yang sama.

Fasa Pertama: Kumpul Modal

Katakan kripto pertama yang dipilih ialah Solana.

Kita mulakan pembelian pertama pada harga 450 dengan modal RM100.

BulanHarga semasaTindakan
Bulan pertama450Beli RM100
Bulan keduaDi bawah 450Beli lagi menggunakan modal bulanan
Bulan ketigaMasih di bawah 450Teruskan mengumpul mengikut plan

Dalam contoh ini, kita menggunakan pendekatan Dollar-Cost Averaging (DCA), iaitu membuat pembelian secara berperingkat setiap kali kita mempunyai modal selagi harga semasa masih di bawah harga belian pertama. Teruskan fasa accumulation.

Bila Harga Naik, Bersedia Untuk Take Profit

Sekarang kita tengok situasi yang berbeza.

Katakan pembelian pertama kita dibuat pada harga 450. Apabila harga naik 10%, harga semasa ialah:

450 × 1.10 = 495

Pada tahap ini, kita mula bersedia untuk masuk ke fasa take profit.

Bukan bermaksud kita perlu menjual semuanya sekaligus. Kita boleh menggunakan strategi menjual sedikit demi sedikit mengikut level yang sudah dirancang.

Dalam video sebelum ini, aku ada berkongsi tentang strategi scale out atau capture the wave, mengambil profit secara berperingkat apabila harga bergerak naik.

Kalau nak faham cara tersebut, boleh baca di sini: Nak Maximize Profit? Cuba Pakai Cara Ni

Yang penting, kita sudah ada plan sebelum harga sampai ke level tersebut.

Bulan Seterusnya: Mula Bina Portfolio Kedua

Katakan bulan pertama kita membeli kripto pertama menggunakan RM100.

Kemudian, selepas beberapa bulan, harga kripto pertama sudah bergerak melepasi harga belian pertama dan kita mula mengurusnya dalam fasa take profit.

Bila masuk bulan seterusnya dan kita mempunyai tambahan modal RM100, kita tak perlu menggunakan wang itu untuk membeli kripto pertama sekali lagi. Sebaliknya, kita boleh mula memilih kripto patuh Shariah yang kedua.

Contohnya:

Modal bulananTindakan
RM100 pertamaMula membina position dalam kripto pertama
RM100 bulan seterusnyaJika kripto pertama sudah memasuki fasa take profit, pertimbangkan kripto kedua
RM100 bulan berikutnyaTeruskan strategi mengikut harga setiap aset

Dengan cara ini, kita mula membina portfolio secara berperingkat.

Kripto pertama masih mempunyai position yang perlu diurus. Jika harga naik, kita boleh take profit mengikut level yang dirancang. Jika harga retrace, kita boleh buy the dip.

Pada masa yang sama, kripto kedua pula boleh melalui fasa accumulation menggunakan modal baru. Proses ini diteruskan untuk aset lain apabila modal dan keadaan mengizinkan.

Dalam jangka masa panjang, kita mungkin dapat membina portfolio yang terdiri daripada tiga hingga lima kripto, bergantung pada modal, risiko dan trading plan masing-masing.

Tetapi jangan lupa: Lebih banyak kripto tidak semestinya bermaksud risiko lebih rendah. Beberapa aset kripto boleh jatuh serentak, jadi kita masih perlu mengambil kira jumlah risiko keseluruhan portfolio.

Berapa Lama Nak Kumpul Modal?

Strategi ini memerlukan masa. Katakan kau baru mula bekerja dan mampu memperuntukkan RM100 sebulan.

Selepas setahun: RM100 × 12 bulan = RM1,200

Selepas lima tahun: RM100 × 60 bulan = RM6,000

Ini ialah jumlah wang yang kau masukkan, sebelum mengambil kira sebarang perubahan nilai aset.

Kalau pendapatan kita meningkat pada masa hadapan dan lebihan tunai bertambah, kita boleh menilai semula jumlah yang diperuntukkan untuk trading. Tak semestinya kita perlu terus bermula dengan modal yang besar.

Kita boleh bermula dengan jumlah yang kita mampu, belajar mengurus position dan upgrade trading plan dari semasa ke semasa.

Kesimpulan

Untuk orang yang mempunyai modal kecil, perkara paling penting bukanlah cuba mendapatkan keuntungan besar dalam masa singkat. Kita perlu tahu bagaimana nak menggunakan modal yang ada dan merancang langkah seterusnya.

Dalam contoh ini, kita bermula dengan RM100 sebulan, membina position dalam kripto pertama dan take profit secara berperingkat bila harga bergerak naik. Kemudian, bila ada modal tambahan, kita boleh mempertimbangkan peluang dalam kripto kedua dan seterusnya.

Sepanjang proses itu, kita perlu tahu bila nak mengumpul dan bila nak mengambil profit. Perlu ada perancangan tentang apa yang akan dibuat selepas kita buy.

Modal kecil memerlukan kesabaran. Kita tak boleh mengharapkan hasil yang besar dalam masa singkat, tetapi kita boleh mula membina tabiat dan sistem yang lebih teratur dari sekarang.

Nota akhir: Strategi ini ialah satu contoh cara menyusun trading plan. Sesuaikan jumlah modal, pemilihan aset dan setiap tindakan dengan kemampuan kewangan serta toleransi risiko masing-masing.