Dalam nota sebelum ni, aku ada share macam mana nak mula trading dengan modal kecil, contohnya RM100 sebulan. Tapi kalau langsung takde modal? Setiap bulan, duit habis untuk bayar komitmen. Nak simpan duit pun susah, apatah lagi nak asingkan duit untuk trading.
Sebelum kau fikir macam mana nak cari modal, aku nak kau faham satu perkara dulu. Kalau setiap bulan duit kau tak cukup, ada masalah kewangan yang perlu diselesaikan sebelum mula memperuntukkan duit untuk trading.
Fahami Masalah Cash Flow Negatif
Cash flow ni sebenarnya mudah. Ambil jumlah duit yang masuk setiap bulan, kemudian tolak semua perbelanjaan. Baki yang tinggal itulah cash flow.
Katakan gaji RM2,000 sebulan. Kalau perbelanjaan RM1,800, bererti ada lebihan RM200. Tapi kalau perbelanjaan RM2,200, maksudnya setiap bulan kekurangan RM200.
| Perkara | Contoh A | Contoh B |
|---|---|---|
| Income | RM2,000 | RM2,000 |
| Expenses | RM1,800 | RM2,200 |
| Cash flow | + RM200 | − RM200 |
Kalau kau berada dalam Contoh A, kau dah ada lebihan RM200 yang boleh diurus untuk simpanan, dana kecemasan atau kumpul modal trading, bergantung pada keadaan kewangan kau. Tapi kalau kau berada dalam Contoh B, kau bukan sahaja tak ada modal untuk trading, malah setiap bulan kau perlu mencari tambahan RM200 untuk menampung perbelanjaan.
Jadi, apa yang boleh dibuat? Semak perbelanjaan dan tengok mana yang boleh dikurangkan. Tapi iyelah, ada perbelanjaan yang memang tak boleh dielakkan, contohnya makan, tempat tinggal, pengangkutan dan bil. Takkanlah nak potong semua perbelanjaan sampai menyusahkan kehidupan sendiri.
Sebab itu, selain mengurangkan perbelanjaan, kena juga fikirkan cara untuk meningkatkan pendapatan.
Kenali Tiga Jenis Income
Sebelum kau fikir macam mana nak tambah pendapatan, aku nak terangkan tiga jenis income: active income, residual income dan passive income. Setiap satu mempunyai cara kerja yang berbeza. Bila dah faham perbezaannya, lebih mudah untuk fikirkan pendekatan yang sesuai dengan keadaan kau sekarang.
A. Active Income
Active income ialah pendapatan yang diterima bila bekerja atau menjalankan sesuatu aktiviti. Contohnya, bekerja makan gaji, membuat kerja sambilan, mengambil upah atau menjalankan perniagaan yang memerlukan penglibatan kau setiap hari.
Kebanyakan orang bermula dengan active income. Kita tukarkan masa, tenaga atau kemahiran kepada duit. Kalau kita bekerja, kita dapat gaji. Kalau buat kerja sambilan, dapat bayaran untuk kerja yang dah disiapkan.
Masalahnya, masa ni terhad. Sehari hanya ada 24 jam. Kalau pendapatan kau bergantung sepenuhnya pada jumlah masa yang digunakan untuk bekerja, ada had kepada jumlah kerja yang boleh dibuat dalam sehari.
Ini bukan bermaksud active income tak bagus. Pendapatan daripada pekerjaan tetap penting untuk menampung kehidupan dan membina asas kewangan. Cuma, kalau nak meningkatkan pendapatan, kau boleh fikirkan bagaimana nak meningkatkan nilai kerja kau supaya ada peluang untuk mendapat bayaran yang lebih baik.
Pada masa yang sama, kau juga boleh mula membina sumber pendapatan lain yang tak semestinya memerlukan kau melakukan kerja yang sama berulang kali.
B. Residual Income
Residual income ialah pendapatan yang boleh terus diterima daripada hasil kerja yang dah dilakukan sebelum ini. Contohnya, menulis buku dan menerima royalti setiap kali buku tersebut terjual. Begitu juga dengan lagu atau konten yang dah dihasilkan dan masih mendapat perhatian selepas dipublished.
Katakan kau menulis sebuah buku. Kau perlu meluangkan masa untuk menulis dan menyiapkannya. Selepas itu, buku tersebut boleh dijual kepada ramai pembaca tanpa perlu menulis semula keseluruhan buku untuk setiap jualan.
Begitu juga kalau menghasilkan video atau artikel. Kau buat kerja tersebut sekali, tetapi orang lain masih boleh menonton atau membacanya berulang kali selepas ia dipublished.
Walau bagaimanapun, kau kena faham bahawa hasilnya tak semestinya datang dengan segera. Kau boleh menghabiskan masa menulis buku atau menghasilkan content, tetapi belum tentu ada orang yang membelinya atau menontonnya. Jadi, residual income bukan bermaksud buat kerja sekali dan duit akan masuk secara automatik selama-lamanya.
Apa yang menarik ialah hasil kerja ni berpotensi terus memberikan nilai selepas selesai dihasilkan. Sebab itu, kalau ada mempunyai kemahiran atau pengetahuan yang boleh dikongsi, boleh fikirkan cara untuk menjadikannya sesuatu yang boleh digunakan oleh orang lain berulang kali.
C. Passive Income
Passive income pula merujuk kepada pendapatan yang diperoleh daripada aset atau pelaburan dengan penglibatan harian yang lebih rendah. Contohnya, pendapatan sewa daripada hartanah atau dividen daripada saham yang membayar dividen.
Dalam konteks kripto, keuntungan daripada kenaikan harga biasanya merupakan capital gain bila kita menjual aset tersebut. Ia bukan pendapatan berkala yang dijamin kerana harga kripto boleh naik dan turun.
Untuk membina passive income melalui pelaburan, kita memerlukan modal terlebih dahulu. Kalau sekarang kau sedang mencari jalan untuk mendapatkan modal, passive income bukan fokus utama buat masa ini.
Sebaliknya, kau boleh beri perhatian kepada perkara yang boleh diusahakan sekarang, seperti meningkatkan pendapatan daripada pekerjaan, membina kemahiran atau menghasilkan sesuatu yang mempunyai nilai kepada orang lain.
Konsep Exchange of Value
Sekarang aku nak kau fikirkan satu soalan: kenapa orang lain sanggup membayar kau?
Katakan kau bekerja di sebuah syarikat. Syarikat tersebut membayar gaji kerana kau memberikan sesuatu yang mempunyai nilai kepada mereka. Mungkin kau melakukan kerja, menyelesaikan masalah, mengurus operasi atau membantu syarikat mencapai objektifnya.
Begitu juga kalau kau berniaga. Pelanggan membayar kau kerana mereka mahukan produk atau perkhidmatan yang kau tawarkan. Mereka memberikan duit, dan sebagai balasan, mereka menerima sesuatu yang mereka perlukan.
Inilah yang dipanggil exchange of value, iaitu pertukaran nilai. Kau memberikan sesuatu yang mempunyai nilai kepada orang lain, dan sebagai balasan, kau menerima bayaran.
Nilai Bukan Ditentukan Oleh Kau Seorang
Katakan kau mempunyai satu kemahiran yang kau rasa sangat hebat. Kau mungkin dah menghabiskan banyak masa untuk mempelajarinya dan rasa bangga dengan kemampuan itu. Tapi kalau tiada orang yang memerlukan kemahiran tersebut, atau tiada orang yang sanggup membayar untuknya, kemahiran itu belum dapat menghasilkan pendapatan.
Sebaliknya, kalau kau boleh menyelesaikan masalah yang orang lain hadapi, mereka mungkin sanggup membayar untuk mendapatkan penyelesaian tersebut.
Contohnya, kau menghasilkan satu produk yang membantu seseorang menyelesaikan masalahnya. Kalau orang tersebut merasakan produk itu bernilai dan sanggup membayar RM10 untuk mendapatkannya, RM10 itu menjadi pendapatan kau dan perbelanjaan dia.
Jadi, bila kau nak meningkatkan income, jangan hanya fikir tentang berapa banyak kerja yang boleh dibuat. Cuba fikirkan masalah apa yang boleh kau selesaikan, siapa yang memerlukan penyelesaian tersebut dan kemahiran apa yang perlu ditingkatkan untuk memberikan hasil yang lebih baik.
Kau mungkin mempunyai banyak pengetahuan, tetapi persoalannya ialah bagaimana pengetahuan itu boleh digunakan untuk membantu orang lain. Bila kau mula memahami perkara ini, baru boleh melihat peluang untuk menawarkan nilai yang orang sanggup bayar.
Tingkatkan Nilai Melalui Masa, Tenaga dan Kemahiran
Kalau baru nak mula, perkara utama yang boleh ditawarkan ialah masa dan tenaga. Kau boleh melakukan kerja sambilan, mengambil upah atau mencari pekerjaan yang sesuai dengan kemampuan. Dalam situasi ini, pendapatan kau biasanya bergantung pada kerja yang dilakukan.
Tetapi bila kau membina kemahiran dan pengetahuan, kau berpotensi menawarkan nilai yang berbeza. Contohnya, seseorang yang mempunyai kemahiran tertentu mungkin boleh menyelesaikan masalah yang lebih kompleks atau memberikan hasil yang lebih baik berbanding seseorang yang belum mempunyai kemahiran tersebut.
Kita boleh membina kemahiran melalui pembelajaran, latihan dan pengalaman. Kalau perlu, boleh juga mendapatkan sijil atau kelayakan yang sesuai dengan bidang yang diceburi. Namun, kena ingat bahawa belajar sesuatu kemahiran sahaja tak menjamin pendapatan akan meningkat. Kita masih perlu memastikan kemahiran tersebut mempunyai permintaan dan boleh memberikan nilai kepada orang lain.
Sebab itu, selain bekerja untuk mendapatkan pendapatan sekarang, kau boleh meluangkan masa untuk meningkatkan kebolehan diri. Cuba cari kemahiran yang boleh membantu kau menyelesaikan masalah orang lain dengan lebih baik. Matlamatnya bukan sekadar untuk bekerja lebih lama, tetapi untuk meningkatkan nilai yang kau boleh tawarkan.
Bina Residual Income Melalui Hasil Kerja
Selain meningkatkan active income, kau juga boleh mula menghasilkan sesuatu yang berpotensi memberikan nilai berulang kali. Tak semestinya perlu terus menulis buku atau menghasilkan produk yang besar. Kau boleh bermula dengan sesuatu yang kecil, seperti berkongsi pengetahuan atau menulis tentang perkara yang kau pelajari.
Kalau tak biasa menulis panjang-panjang, cuba mula dengan menulis di media sosial. Dari situ, kau boleh belajar menyusun idea, menerangkan sesuatu dengan lebih jelas dan memahami perkara yang diperlukan oleh orang yang membaca tulisan kau. Lama-kelamaan, hasil kerja tersebut boleh dikembangkan menjadi artikel, video, buku atau produk digital.
Contohnya, aku sendiri published nota di website aku. Aku menulis tentang perkara yang aku tahu. Nota-nota tersebut boleh dibaca semula oleh orang lain tanpa aku perlu menerangkan perkara yang sama secara berulang kali kepada setiap individu.
Bagi aku, tulisan-tulisan tersebut ialah sebahagian daripada aset intelek atau intellectual property yang aku bina dari semasa ke semasa. Ia tak semestinya terus menghasilkan duit, tetapi aku tetap menghasilkannya kerana setiap nota baharu menambah koleksi yang sudah ada.
Kau pun boleh fikirkan perkara yang sama berdasarkan pengetahuan dan kemahiran kau sendiri. Apa yang kau tahu? Apa yang boleh kau kongsi? Apa yang boleh kau hasilkan supaya orang lain boleh mendapat manfaat daripadanya?
Kau tak perlu terus menghasilkan sesuatu yang sempurna. Mulakan dengan apa mampu, kemudian perbaiki hasil kerja dari semasa ke semasa. Walaupun pendapatan tak datang serta-merta, kau sedang membina hasil kerja yang berpotensi memberikan nilai berulang kali.
Bagaimana Semua Ini Berkait Dengan Modal Trading?
Sekarang kita kembali kepada masalah asal. Kau nak mula trading, tetapi tak mempunyai modal. Kalau cash flow masih negatif, kau perlu mencari jalan untuk memperbaiki keadaan tersebut terlebih dahulu.
Berdasarkan apa yang aku explain tadi, kau boleh mula dengan meningkatkan kemahiran, mencari cara untuk menambah nilai kepada orang lain dan membina pendapatan. Apabila pendapatan dah melebihi perbelanjaan, baru berpeluang mewujudkan cash flow positif. Daripada lebihan itulah dah boleh mula mengumpul modal untuk trading.
Secara ringkas, alirannya boleh digambarkan begini:
Tingkatkan kemahiran → Tambah nilai yang kau tawarkan → Bina pendapatan → Wujudkan cash flow positif → Kumpul modal trading.
Cara kau nak meningkatkan pendapatan bergantung pada keadaan kau sekarang. Mungkin boleh mencari pekerjaan yang menawarkan gaji lebih baik, membuat kerja sambilan atau mula menghasilkan sesuatu seperti tulisan, video dan produk digital. Pilih pendekatan yang sesuai dengan kemahiran, masa dan sumber yang kau ada.
Bila kau dah mempunyai lebihan tunai, baru boleh mempertimbangkan berapa banyak yang sesuai untuk diperuntukkan kepada trading. Pastikan duit tersebut bukan wang yang diperlukan untuk membayar komitmen hidup atau memenuhi keperluan kecemasan.
Walaupun dah mempunyai modal, kau masih perlu mempunyai trading plan dan pengurusan risiko. Jangan cuba menyelesaikan masalah kekurangan pendapatan dengan mengambil risiko trading yang lebih besar. Trading bukan jalan yang menjamin kau boleh menutup kekurangan cash flow atau mendapatkan pendapatan yang diperlukan setiap bulan.
Kesimpulan
Kalau sekarang kau tak mempunyai modal untuk trading, tak semestinya kau perlu berhenti belajar tentang trading. Tetapi ada perkara lain yang lebih penting untuk dibina terlebih dahulu, iaitu keadaan kewangan yang membolehkan kau mempunyai lebihan duit setiap bulan.
Cuba fahami cash flow sendiri dan semak semula pendapatan serta perbelanjaan. Selepas itu, fikirkan bagaimana boleh meningkatkan pendapatan dengan menawarkan nilai yang diperlukan oleh orang lain. Kau boleh bermula dengan masa dan tenaga, tingkatkan kemahiran, kemudian secara beransur-ansur menghasilkan sesuatu yang berpotensi memberikan nilai berulang kali.
Proses ini memerlukan masa, dan hasilnya tak dijamin. Tetapi dengan membina kemahiran dan pendapatan, kau boleh berusaha mewujudkan keadaan kewangan yang lebih sesuai untuk mula trading.
Sebelum fikir bagaimana nak gandakan modal, fikir dahulu bagaimana nak membina modal itu.
Nota akhir: Nota ini menerangkan konsep pendapatan, pertukaran nilai dan pembinaan modal secara umum. Ia bukan jaminan bahawa sesuatu kemahiran, kandungan atau perniagaan akan menghasilkan pendapatan. Pilih pendekatan yang sesuai dengan keadaan dan kemampuan kewangan kau sekarang.
Pengumuman: Ebook Baru!
Aku sedang menulis sebuah ebook bertajuk Game Plan Anak Muda: Modal, Risiko, dan Untung. Aku ada plan nak sediakan program affiliate untuk ebook tersebut, jadi semua orang berpeluang memperoleh komisen dengan mempromosikan ebook tu lepas aku dah publish nanti.
Kalau kau berminat nak mengikuti perkembangan ebook dan pengumuman berkaitan program affiliate tersebut, follow aku di Threads. Aku akan berkongsi maklumat lanjut di sana dari semasa ke semasa.