Lima Kesilapan Yang Pernah Aku Buat

Bila berurusan dengan orang, kena hati-hati. Ini antara kesilapan yang aku buat dulu.

Pertama, terlalu percaya pada janji orang yang kata duit akan ditransfer ke akaun bank. Sebelum duit itu benar-benar masuk, aku dah pun membelanjakan duit yang ada dalam tangan. Masa tu aku fikir, nanti bila bayaran dibuat, aku gantikan semula.

Aku beri contoh umum supaya tak terlalu spesifik. Ada makhluk Allah berjanji nak bayar aku RM2,000 pada 15 haribulan. Dia beritahu aku sejak 1 haribulan lagi. Jadi aku pun pegang janji itu, dan belanjakan kira-kira RM2,000 yang ada dalam tangan, dengan anggapan nanti bila dia bayar, semuanya akan selesai.

Masalahnya, bila sampai tarikh yang dijanjikan, duit itu tak juga ditransfer. Duit dalam tangan sudah berkurang RM2,000 dan cash flow tercekik. Dari situ aku belajar satu perkara penting: tunggu duit masuk dulu, baru belanja. Janji orang tak ada nilai. Kata-kata tak boleh digunakan untuk bayar bil atau hutang bank. Jangan anggap sesuatu itu lunas selagi duit belum sampai ke tangan.

Kedua, buat projek bukan berdasarkan duit yang ada, tetapi berdasarkan duit yang kononnya pelabur akan laburkan. Bila buat projek, strategi mesti ikut berapa duit yang benar-benar ada dalam tangan.

Ada modal RM10,000 dan RM100,000 adalah dua situasi yang sangat berbeza. Pendekatan, keputusan dan langkah yang diambil juga berbeza. Bila kita merancang seolah-olah ada RM100,000 sedangkan realitinya cuma ada RM10,000, projek akan terkandas bila duit itu habis. Akhirnya modal hangus, untung yang diharap pun tak wujud. Jadi solusinya, buat projek ikut kemampuan sebenar, bukan harapan.

Ketiga, expand projek menggunakan duit pinjaman ketika cash flow projek masih negatif. Sepatutnya tunggu dulu sehingga cash flow jadi positif. Kalau benar-benar perlu buat expansion, biarlah bayaran balik pinjaman itu ditanggung oleh projek, bukan oleh cash flow sendiri.

Bila projek tak menjadi atau terkandas, pinjaman tetap perlu dibayar. Waktu ni cash flow aku mula terjerut.

Keempat, menganggap semua urusan akan berjalan lancar. Hakikatnya, kelewatan selalunya bukan datang dari pihak kita, tetapi dari pihak lain. Bila kita silap jangka masa, setiap kelewatan akan menambah kos.

Apa yang aku buat sekarang, jika tempoh anggaran projek ialah 3 bulan, aku akan sediakan bajet untuk 6 hingga 9 bulan. Bila garis masa dipanjangkan, kos atas kertas nampak meningkat, dan bayangan keuntungan besar mula hilang. Dalam senario terbaik, margin nampak lumayan. Tapi bila dirancang secara realistik, rupanya margin itu biasa-biasa saja. Dari situ aku akan nilai semula sama ada projek itu berbaloi untuk dimulakan atau tidak.

Kelima, pendapatan belum pasti, tapi sudah buat komitmen jangka panjang. Ceritanya, aku dijanjikan pendapatan bulanan dalam jumlah tertentu. Dengan yakin, aku beli sebuah apartment kerana menganggap pendapatan itu bakal diterima.

Malangnya, pendapatan tersebut tak pernah menjadi kenyataan. Tapi bayaran bulanan apartment tetap perlu dibuat. Sekali lagi aku ulang: janji orang tak ada nilai. Ia tak boleh digunakan untuk bayar bil dan hutang bank.

Mungkin masih ada kesilapan kewangan lain, tapi cukuplah lima ini. Banyak yuran kebodohan yang aku dah bayar. Aku kongsikan semua ini supaya kau boleh mengelakkan kesilapan yang sama dan tidak melalui masalah kewangan yang pernah aku hadapi.

Kalau aku tak dapat tolong kau buat untung, sekurang-kurangnya aku harap perkongsian ini boleh membantu untuk mengelakkan kerugian.

Nota kaki: Kalau kau rasa aku nampak pandai hari ini, bukan sebab otak aku memang bergeliga. Tapi sebab aku pernah bodoh dan banyak buat silap. Sama-sama kita belajar.